Saturday, 4 January 2014

Kisah syaitan, Dajjal dan alam ghaib

Berbicara tentang hal-hal yang ghaib atau cuba membongkarnya bukanlah satu hal yang kecil.

Kita berasa sedih apabila terdapat sekelompok manusia yang cuba hendak membongkar alam ghaib, mencari hantu dan sebagainya. Tidak dinafikan rancangan sebegini memang punyai tarikan tersendiri.

Untuk apa kita mencari hantu, sedangkan kita disuruh untuk membaca “A’uzubillahi min asy-syaithan ar-rajim” iaitu meminta perlindungan agar dijauhkan daripada hantu dan syaitan.

Lalu mengapa ada orang yang pergi mencari syaitan? Sebagai contoh ketika memasuki tandas atau bilik mandi Nabi mengajarkan kita agar membaca, “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari godaan syaitan jantan dan betina.” (riwayat al Bukhari).

Berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan mereka kerana sesungguhnya tandas dan bilik mandi adalah tempat tinggal mereka.

Ada pula orang yang mencari Dajjal di Segitiga Bermuda, kononnya Dajjal ada di situ. Mengapa kita hendak mencari Dajjal?

Nabi menceritakan tentang kemunculan Dajjal pada akhir zaman, di mana apabila disebut Dajjal telah muncul, keadaan manusia pada ketika itu semua lari pulang ke rumah masing-masing, jaga anak isteri masing-masing, kerana kata Nabi, wanita akan mudah dipengaruhi oleh Dajjal.

Daripada Umar RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melakukan thawaf di Baitullah.... “Lalu beliau mengatakan bahawa beliau melihat Isa Ibnu Maryam alaihissalam, kemudian melihat Dajjal dan menyebutkan ciri-cirinya dengan sabdanya: “Dia itu seorang laki-laki yang gemuk, berkulit merah, berambut kerinting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak’ (tak bersinar).

“Para sahabat berkata, “Dajjal ini lebih menyerupai Ibnu Qathn, seorang laki-laki dari Khuza’ah.” (riwayat al-Bukhari)

ALLAH menganugerahkan kepada Dajjal beberapa keistimewaan; seperti boleh hidupkan orang  mati dan orang-orang yang kita cintai, Dajjal boleh menghidupkan semula dengan syarat kita beriman kepadanya.

Sebab itu Nabi minta kita jauhkan diri supaya jangan bertemu dengan Dajjal. Dan sebab itu juga kita dituntut membaca satu doa setiap kali dalam solat sebelum memberi salam, “Ya ALLAH, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada seksaan kubur, seksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta daripada kejahatan fitnah Al-Masih Al-Dajjal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita dituntut untuk memohon dijauhkan daripada empat perkara dan salah satunya adalah fitnah Dajjal, kerana fitnah Dajjal sangatlah dahsyat. Jadi mengapa ada orang pergi carinya. Mengapa kita pergi bongkar tentangnya.

Ada orang mengatakan Dajjal bermata satu. Tidak, Dajjal bermata dua, cuma dia buta sebelah mata. Di dahinya tertulis perkataan ‘kaf, fa, ra’ yang terpisah membawa erti kufur. Dajjal pendek tetapi lebar. Rambutnya kerinting. Itu cerita Nabi tentang Dajjal, cerita tentang alam ghaib. Sahabat Nabi menerimanya.

Rasulullah pernah bercerita tentang Dajjal kepada para sahabat, namun tidak pula kita menemui kisah kembara para sahabat untuk mencari Dajjal. Salah satu perkhabaran yang dibawakan oleh Rasulullah tentang Dajjal ialah daripada riwayat Fatimah binti Qais berkisar tentang sahabat Tamim Ad-Dari, “Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, tetapi dia akan datang dari arah timur... dari arah timur... dari arah timur...” dan beliau berisyarat dengan tangan beliau menunjuk ke arah timur.” (riwayat Muslim)

Ini menunjukkan betapa sahabat Nabi percaya dan berpegang dengan perkataan Nabi. Seharusnya kita mencontohi perilaku mereka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi, yakni dengan sentiasa membenarkan apa sahaja yang telah sahih datang daripada Nabi dan terus mengikutinya tanpa sebarang syak dan ragu.

Ekspedisi dan eksplorasi ke alam ghaib amat berbahaya dan dibimbangi akan merosakkan akidah umat Islam. Hukum orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib adalah kafir, kerana ia mendustakan ALLAH SWT. Firman ALLAH maksudnya, “Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan” (An-Naml : 65)

ALLAH memerintahkan kepada NabiNya Muhammad untuk memberitahukan kepada manusia bahawa tidak ada seorang pun di bumi mahupun di langit yang mengetahui ilmu ghaib kecuali ALLAH SWT. Hatta Rasulullah sendiri hanya mengetahui sekadar apa yang ALLAH sampaikan.

0 comments:

Post a Comment