Saturday, 4 January 2014

DAJJAL, SIAPAKAH GERANGANNYA?



Tarikh tepat kejadian hari kiamat tidak dapat ditentukan oleh sesiapa kerana ia termasuk dalam `ilm al-ghaib yang tersembunyi daripada manusia. Tiada siapa mampu mengusahakan ilmu ini, sekalipun dia seorang nabi atau rasul utusan Allah.
Namun tiada siapa pula yang menafikan bahawa kiamat hampir tiba waktunya. Baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Jabir menyatakan: "Jarak antara kiamat dan kebangkitanku, seperti antara jari telunjuk dan jari hantu. Maksudnya dekat dan tidak dipisahkan dengan kebangkitan mana-mana nabi lagi." (Hadis riwayat Bukhari dalam kitab al-Tafsir 8/530 Muslim dalam kitab al-Fitan, bilangan 2950).
Antara tanda-tanda besar kiamat ialah terbitnya matahari waktu pagi dari arah barat, munculnya Ya'juj dan Ma'juj, turun Nabi Isa a.s., keluar haiwan ganjil dari perut bumi, muncul Dajjal dan lain-lain. Kemunculan Dajjal dianggap antara tiga manusia yang ditunggu-tunggu sebelum kejadian kiamat, di samping Nabi Isa dan Imam Mahdi.
Kemunculan Imam Mahdi dan Dajjal perlu diteliti dengan tenang kerana sekian ramai individu yang mengaku dirinya Mahdi, bahkan tidak kurang juga individu yang didakwa sebagai Dajjal, kerana tabiatnya yang suka berdusta dan menipu.
Banyak hadis membicarakan kemunculan Dajjal sebagai salah satu antara tanda-tanda kiamat. Ada hadis yang disifatkan sebagai sahih dan ada yang tidak sahih, tetapi keseluruhannya boleh disimpulkan bahawa Dajjal bukan sesuatu yang dongeng atau tidak berasas. Kewujudan riwayat berhubung Dajjal daripada pelbagai sumber menunjukkan ia adalah suatu hakikat, bukan cerita dongeng.
Hadis yang paling sahih tentang kemunculan Dajjal ialah hadis riwayat Muslim yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. selalu memohon doa agar Allah melindunginya daripada fitnah Dajjal. Doa dalam bahasa Arab itu membawa maksud: Ya Allah! Aku berlindung kepadamu dari azab neraka jahanam, aku mohon berlindung kepadamu dari azab kubur, aku mohon berlindung kepadamu dari ujian hidup dan mati dan aku mohon berlindung kepadamu dari fitnah Dajjal.
Berpandukan riwayat ini, Ibn Hazm al-Zahiri memutuskan, doa di atas wajib dibaca selepas membaca tasyahhud akhir. Sesiapa yang tidak membaca, maka tidak sah solatnya (al-Muhalla 3/277). Ini bermakna, sesiapa yang tidak membaca doa ini dalam tasyahhudnya, nescaya batal solatnya.
Tawwus Ibn Kaisan, seorang ulama khas terkemuka, menyuruh anaknya mengulangi solat apabila didapati anaknya tidak membaca doa itu. Justeru pentingnya doa agar dilindungi kita daripada fitnah Dajjal, maka seorang ulama besar, Abdul Rahman al-Muharibi menyarankan agar guru-guru kelas tadika mengajar doa itu kepada murid-murid mereka.
Al-Safarini juga menyatakan, orang berilmu perlu mengajar doa ini kepada anak-anak, isteri dan keluarganya, bahkan kaum lelaki juga hendaklah membaca, kerana akhir-akhir ini ramai Dajjal yang suka menipu dan menyebarkan fitnah. Tetapi siapakah Dajjal itu?
Tiada kata putus menyatakan Dajjal itu siapa. Mungkinkah ia makhluk jin atau manusia, atau bukan jin dan bukan manusia? Di sini terdapat beberapa riwayat dan pendapat yang menyatakan individu itu. Antaranya:
Dajjal ialah syaitan dari keturunan iblis. Ia kini dipenjarakan di sebuah pulau di negeri Yemen. Tidak diketahui siapakah memenjarakannya, mungkin Nabi Sulaiman atau lain-lain nabi pada suatu ketika dahulu.
Diriwayatkan, mata rantai yang mengikat Dajjal ini terputus satu mata pada setiap tahun. Apabila tiba waktu kemunculannya, semua mata rantai itupun terungkai dan tidak dapat disambung lagi. Sumber-sumber lain pula menyatakan, Dajjal adalah anak kacukan yang dilahirkan daripada ibunya jin dan bapanya manusia.
Sebagai kesimpulan, Dajjal ialah syaitan yang akan lahir pada akhir zaman. Syaitan Dajjal ini mungkin keturunan jin atau manusia, bahkan mungkin makhluk kacukan antara jin dan manusia. Pada suatu hari nanti, ia akan dibebaskan daripada penjara dan tiba-tiba muncul di kalangan manusia.
Pendapat ini diperkukuhkan juga dengan suatu peristiwa yang berlaku kepada Tamim Ibn Aus al-Dari yang menceritakan tentang peristiwa al-Masih al-Dajjal, katanya: Pada suatu hari, aku menaiki sebuah sampan bersama 30 orang penumpang lelaki dari suku Lakham dan Juzam, tiba-tiba kami dipukul ribut, lalu hanyut dan memaksa kami mendarat di sebuah pulau pada waktu matahari hampir terbenam. Kami menemui suatu lembaga berbulu tebal sehingga tidak dapat dibezakan antara kemaluan hadapan dan belakangnya. Kami bertanya kepada lembaga itu: Siapa kamu? Jawabnya: saya ialah al-Jassasah.
Kami kebingungan dengan jawapan itu, lalu kami bertanya lagi: Siapa al-Jassasah itu? Jawabnya: Jika kamu semua ingin tahu ceritanya, pergilah berjumpa seorang lelaki yang tinggal di sebuah pondok kecil di pulau ini. Lalu kami dengan segera menemui lelaki itu, kami dapati ia seorang manusia yang besar badannya, tangannya sedang dipasung ke lehernya. Pengulas-pengulas hadis menyatakan, kemungkinan lelaki ini ialah Dajjal yang dikatakan sedang dipenjara di sebuah pulau di Yemen.
Saya berpendapat, setakat ini belum kedengaran penjara ini ditemui manusia, walaupun pulau-pulau yang ada hari ini telahpun diterokai manusia dan dijadikan pusat-pusat peranginan bagi pelancong luar dan dalam negara. Kiranya benar wujud lelaki yang dipenjara itu, nescaya pasti ada orang yang mengetahuinya.
Ada pula riwayat menyatakan Dajjal itu ialah Saf Ibn Sayyad. Beliau dilahirkan di Madinah pada zaman awal Islam, ibu dan bapanya keturunan Yahudi. Beliau memiliki sifat-sifat yang disebut dalam hadis iaitu sebelah matanya buta, pendusta dan tertulis perkataan kafir di antara dua matanya.
Hadis riwayat Muslim menyatakan, pada suatu hari Rasulullah saw bersama-sama Umar Ibn al-Khattab berjalan-jalan di pinggir Madinah, tiba-tiba mereka ternampak seorang budak remaja sedang bermain dengan kanak-kanak dalam sebuah bangunan kepunyaan Bani Maghalah. Kedatangan Rasulullah tidak disedari oleh budak itu hingga baginda menepuk belakangnya dan bertanya: Setujukah kamu mempercayai aku ialah Rasulullah. Jawabnya: "Aku setuju menyaksi bahawa kamu rasul orang ummi (buta huruf)", ia kemudian bertanya nabi: Kamu pula bagaimana?: Setujukah mempercayai aku sebagai Rasulullah? Lalu nabi menolak pertanyaannya sambil bersabda: Aku beriman kepada Allah dan rasul-Nya.
Kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. ramai yang menyatakan Ibn Sayyad yang ditemui nabi itu ialah Dajjal besar. Antara mereka ialah Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Umar, Ibn Mas'ud dan lain-lain.
Jika benar Saf Ibn Sayyad itu Dajjal agung yang bakal muncul pada akhir zaman atau sebelum kiamat, maka kemungkinan ia juga jin kerana Ibn Sayyad dilahirkan pada zaman awal Islam dan akan muncul pada akhir zaman. Umur sepanjang itu biasa wujud pada makhluk jin, tidak pada manusia.
Beberapa tahun yang lalu, saya pernah membaca sebuah buku tulisan Ustaz Amaluddin Darus. Beliau adalah seorang aktivis politik Islam dalam tahun 60-an. Beliau berpendapat Dajjal ialah kuasa-kuasa besar dunia, iaitu Rusia dan Amerika pada waktu itu. Tetapi sayang buku itu hilang daripada simpanan perpustakaan peribadi untuk dibaca semula hujah dan alasan yang diberinya.
Sesungguhnya pendapat Ustaz Amaluddin itu ada kebenaran dan nilai ilmiahnya, bahkan wajar dikutip penyelidik untuk dikaji semula. Saya berpendapat, jika Amaluddin berpendapat begitu, maka pemikiran beliau dapat diperkukuhkan lagi dengan alasan-alasan berikut:
Pertama: Dajjal yang dimaksudkan itu bukan individu tertentu, sama ada jin atau manusia atau makhluk kacukan antara jin dan manusia. Dajjal pemusnah manusia dalam bentuk kuasa ketenteraan atau disebut juga keganasan. Tetapi istilah keganasan ini telah dikelirukan oleh Dajjal sendiri, apabila pengganas menamakan orang lain sebagai pengganas bagi tujuan menyembunyikan dirinya yang merupakan pengganas sebenar.
Kedua: Alamat Dajjal disebutkan dalam hadis sebagai buta sebelah mata. Maksudnya tidak dapat menilai sesuatu dengan adil dan saksama. Memangpun kuasa-kuasa besar di dunia hari ini disifatkan sebagai buta atau sengaja membutakan sebelah matanya, iaitu apabila mereka tidak dapat melihat dengan adil isu-isu Palestin, Kashmir dan lain-lain. Mereka mempunyai kayu pengukur yang berbagai-bagai apabila bercakap tentang hak-hak manusia. Mereka menindas sesiapa juga yang mereka benci dan membela sesiapa yang mereka suka. Sifat ini lebih sesuai dengan orang yang hanya mampu melihat dengan sebelah mata.
Ketiga: Makna yang diketengahkan oleh Ustaz Amaluddin itu lebih merupakan makna majazi (simbolik) bukan hakiki. Penggunaan makna secara simbolik tidak menyalahi kaedah bahasa, kerana makna hakiki yang diketengahkan itupun masih jauh dan banyak yang diperselisihkan. Ini sama juga dengan istilah Nabi Khidir yang dikatakan wali dan masih hidup hingga kini. Apakah Khidir itu individu tertentu atau ia merupakan simbol bagi martabat wali yang silih berganti? Kedua-duanya ada dalil dan ada hujah masing-masing.
Ketahuilah, bahawa setiap satu ciptaan Allah swt itu ada hikmah disebalik kejadiannya. Kewajipan kita hanya menjalankan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Keluarnya dajjal itu bukanlah urusan kita, tetapi urusan Allah swt. Serahkan saja kepadaNYA, kerana DIA tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNYA.

Kisah syaitan, Dajjal dan alam ghaib

Berbicara tentang hal-hal yang ghaib atau cuba membongkarnya bukanlah satu hal yang kecil.

Kita berasa sedih apabila terdapat sekelompok manusia yang cuba hendak membongkar alam ghaib, mencari hantu dan sebagainya. Tidak dinafikan rancangan sebegini memang punyai tarikan tersendiri.

Untuk apa kita mencari hantu, sedangkan kita disuruh untuk membaca “A’uzubillahi min asy-syaithan ar-rajim” iaitu meminta perlindungan agar dijauhkan daripada hantu dan syaitan.

Lalu mengapa ada orang yang pergi mencari syaitan? Sebagai contoh ketika memasuki tandas atau bilik mandi Nabi mengajarkan kita agar membaca, “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari godaan syaitan jantan dan betina.” (riwayat al Bukhari).

Berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan mereka kerana sesungguhnya tandas dan bilik mandi adalah tempat tinggal mereka.

Ada pula orang yang mencari Dajjal di Segitiga Bermuda, kononnya Dajjal ada di situ. Mengapa kita hendak mencari Dajjal?

Nabi menceritakan tentang kemunculan Dajjal pada akhir zaman, di mana apabila disebut Dajjal telah muncul, keadaan manusia pada ketika itu semua lari pulang ke rumah masing-masing, jaga anak isteri masing-masing, kerana kata Nabi, wanita akan mudah dipengaruhi oleh Dajjal.

Daripada Umar RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melakukan thawaf di Baitullah.... “Lalu beliau mengatakan bahawa beliau melihat Isa Ibnu Maryam alaihissalam, kemudian melihat Dajjal dan menyebutkan ciri-cirinya dengan sabdanya: “Dia itu seorang laki-laki yang gemuk, berkulit merah, berambut kerinting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak’ (tak bersinar).

“Para sahabat berkata, “Dajjal ini lebih menyerupai Ibnu Qathn, seorang laki-laki dari Khuza’ah.” (riwayat al-Bukhari)

ALLAH menganugerahkan kepada Dajjal beberapa keistimewaan; seperti boleh hidupkan orang  mati dan orang-orang yang kita cintai, Dajjal boleh menghidupkan semula dengan syarat kita beriman kepadanya.

Sebab itu Nabi minta kita jauhkan diri supaya jangan bertemu dengan Dajjal. Dan sebab itu juga kita dituntut membaca satu doa setiap kali dalam solat sebelum memberi salam, “Ya ALLAH, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada seksaan kubur, seksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta daripada kejahatan fitnah Al-Masih Al-Dajjal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita dituntut untuk memohon dijauhkan daripada empat perkara dan salah satunya adalah fitnah Dajjal, kerana fitnah Dajjal sangatlah dahsyat. Jadi mengapa ada orang pergi carinya. Mengapa kita pergi bongkar tentangnya.

Ada orang mengatakan Dajjal bermata satu. Tidak, Dajjal bermata dua, cuma dia buta sebelah mata. Di dahinya tertulis perkataan ‘kaf, fa, ra’ yang terpisah membawa erti kufur. Dajjal pendek tetapi lebar. Rambutnya kerinting. Itu cerita Nabi tentang Dajjal, cerita tentang alam ghaib. Sahabat Nabi menerimanya.

Rasulullah pernah bercerita tentang Dajjal kepada para sahabat, namun tidak pula kita menemui kisah kembara para sahabat untuk mencari Dajjal. Salah satu perkhabaran yang dibawakan oleh Rasulullah tentang Dajjal ialah daripada riwayat Fatimah binti Qais berkisar tentang sahabat Tamim Ad-Dari, “Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, tetapi dia akan datang dari arah timur... dari arah timur... dari arah timur...” dan beliau berisyarat dengan tangan beliau menunjuk ke arah timur.” (riwayat Muslim)

Ini menunjukkan betapa sahabat Nabi percaya dan berpegang dengan perkataan Nabi. Seharusnya kita mencontohi perilaku mereka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi, yakni dengan sentiasa membenarkan apa sahaja yang telah sahih datang daripada Nabi dan terus mengikutinya tanpa sebarang syak dan ragu.

Ekspedisi dan eksplorasi ke alam ghaib amat berbahaya dan dibimbangi akan merosakkan akidah umat Islam. Hukum orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib adalah kafir, kerana ia mendustakan ALLAH SWT. Firman ALLAH maksudnya, “Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan” (An-Naml : 65)

ALLAH memerintahkan kepada NabiNya Muhammad untuk memberitahukan kepada manusia bahawa tidak ada seorang pun di bumi mahupun di langit yang mengetahui ilmu ghaib kecuali ALLAH SWT. Hatta Rasulullah sendiri hanya mengetahui sekadar apa yang ALLAH sampaikan.