Saturday, 4 January 2014

DAJJAL, SIAPAKAH GERANGANNYA?



Tarikh tepat kejadian hari kiamat tidak dapat ditentukan oleh sesiapa kerana ia termasuk dalam `ilm al-ghaib yang tersembunyi daripada manusia. Tiada siapa mampu mengusahakan ilmu ini, sekalipun dia seorang nabi atau rasul utusan Allah.
Namun tiada siapa pula yang menafikan bahawa kiamat hampir tiba waktunya. Baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Jabir menyatakan: "Jarak antara kiamat dan kebangkitanku, seperti antara jari telunjuk dan jari hantu. Maksudnya dekat dan tidak dipisahkan dengan kebangkitan mana-mana nabi lagi." (Hadis riwayat Bukhari dalam kitab al-Tafsir 8/530 Muslim dalam kitab al-Fitan, bilangan 2950).
Antara tanda-tanda besar kiamat ialah terbitnya matahari waktu pagi dari arah barat, munculnya Ya'juj dan Ma'juj, turun Nabi Isa a.s., keluar haiwan ganjil dari perut bumi, muncul Dajjal dan lain-lain. Kemunculan Dajjal dianggap antara tiga manusia yang ditunggu-tunggu sebelum kejadian kiamat, di samping Nabi Isa dan Imam Mahdi.
Kemunculan Imam Mahdi dan Dajjal perlu diteliti dengan tenang kerana sekian ramai individu yang mengaku dirinya Mahdi, bahkan tidak kurang juga individu yang didakwa sebagai Dajjal, kerana tabiatnya yang suka berdusta dan menipu.
Banyak hadis membicarakan kemunculan Dajjal sebagai salah satu antara tanda-tanda kiamat. Ada hadis yang disifatkan sebagai sahih dan ada yang tidak sahih, tetapi keseluruhannya boleh disimpulkan bahawa Dajjal bukan sesuatu yang dongeng atau tidak berasas. Kewujudan riwayat berhubung Dajjal daripada pelbagai sumber menunjukkan ia adalah suatu hakikat, bukan cerita dongeng.
Hadis yang paling sahih tentang kemunculan Dajjal ialah hadis riwayat Muslim yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. selalu memohon doa agar Allah melindunginya daripada fitnah Dajjal. Doa dalam bahasa Arab itu membawa maksud: Ya Allah! Aku berlindung kepadamu dari azab neraka jahanam, aku mohon berlindung kepadamu dari azab kubur, aku mohon berlindung kepadamu dari ujian hidup dan mati dan aku mohon berlindung kepadamu dari fitnah Dajjal.
Berpandukan riwayat ini, Ibn Hazm al-Zahiri memutuskan, doa di atas wajib dibaca selepas membaca tasyahhud akhir. Sesiapa yang tidak membaca, maka tidak sah solatnya (al-Muhalla 3/277). Ini bermakna, sesiapa yang tidak membaca doa ini dalam tasyahhudnya, nescaya batal solatnya.
Tawwus Ibn Kaisan, seorang ulama khas terkemuka, menyuruh anaknya mengulangi solat apabila didapati anaknya tidak membaca doa itu. Justeru pentingnya doa agar dilindungi kita daripada fitnah Dajjal, maka seorang ulama besar, Abdul Rahman al-Muharibi menyarankan agar guru-guru kelas tadika mengajar doa itu kepada murid-murid mereka.
Al-Safarini juga menyatakan, orang berilmu perlu mengajar doa ini kepada anak-anak, isteri dan keluarganya, bahkan kaum lelaki juga hendaklah membaca, kerana akhir-akhir ini ramai Dajjal yang suka menipu dan menyebarkan fitnah. Tetapi siapakah Dajjal itu?
Tiada kata putus menyatakan Dajjal itu siapa. Mungkinkah ia makhluk jin atau manusia, atau bukan jin dan bukan manusia? Di sini terdapat beberapa riwayat dan pendapat yang menyatakan individu itu. Antaranya:
Dajjal ialah syaitan dari keturunan iblis. Ia kini dipenjarakan di sebuah pulau di negeri Yemen. Tidak diketahui siapakah memenjarakannya, mungkin Nabi Sulaiman atau lain-lain nabi pada suatu ketika dahulu.
Diriwayatkan, mata rantai yang mengikat Dajjal ini terputus satu mata pada setiap tahun. Apabila tiba waktu kemunculannya, semua mata rantai itupun terungkai dan tidak dapat disambung lagi. Sumber-sumber lain pula menyatakan, Dajjal adalah anak kacukan yang dilahirkan daripada ibunya jin dan bapanya manusia.
Sebagai kesimpulan, Dajjal ialah syaitan yang akan lahir pada akhir zaman. Syaitan Dajjal ini mungkin keturunan jin atau manusia, bahkan mungkin makhluk kacukan antara jin dan manusia. Pada suatu hari nanti, ia akan dibebaskan daripada penjara dan tiba-tiba muncul di kalangan manusia.
Pendapat ini diperkukuhkan juga dengan suatu peristiwa yang berlaku kepada Tamim Ibn Aus al-Dari yang menceritakan tentang peristiwa al-Masih al-Dajjal, katanya: Pada suatu hari, aku menaiki sebuah sampan bersama 30 orang penumpang lelaki dari suku Lakham dan Juzam, tiba-tiba kami dipukul ribut, lalu hanyut dan memaksa kami mendarat di sebuah pulau pada waktu matahari hampir terbenam. Kami menemui suatu lembaga berbulu tebal sehingga tidak dapat dibezakan antara kemaluan hadapan dan belakangnya. Kami bertanya kepada lembaga itu: Siapa kamu? Jawabnya: saya ialah al-Jassasah.
Kami kebingungan dengan jawapan itu, lalu kami bertanya lagi: Siapa al-Jassasah itu? Jawabnya: Jika kamu semua ingin tahu ceritanya, pergilah berjumpa seorang lelaki yang tinggal di sebuah pondok kecil di pulau ini. Lalu kami dengan segera menemui lelaki itu, kami dapati ia seorang manusia yang besar badannya, tangannya sedang dipasung ke lehernya. Pengulas-pengulas hadis menyatakan, kemungkinan lelaki ini ialah Dajjal yang dikatakan sedang dipenjara di sebuah pulau di Yemen.
Saya berpendapat, setakat ini belum kedengaran penjara ini ditemui manusia, walaupun pulau-pulau yang ada hari ini telahpun diterokai manusia dan dijadikan pusat-pusat peranginan bagi pelancong luar dan dalam negara. Kiranya benar wujud lelaki yang dipenjara itu, nescaya pasti ada orang yang mengetahuinya.
Ada pula riwayat menyatakan Dajjal itu ialah Saf Ibn Sayyad. Beliau dilahirkan di Madinah pada zaman awal Islam, ibu dan bapanya keturunan Yahudi. Beliau memiliki sifat-sifat yang disebut dalam hadis iaitu sebelah matanya buta, pendusta dan tertulis perkataan kafir di antara dua matanya.
Hadis riwayat Muslim menyatakan, pada suatu hari Rasulullah saw bersama-sama Umar Ibn al-Khattab berjalan-jalan di pinggir Madinah, tiba-tiba mereka ternampak seorang budak remaja sedang bermain dengan kanak-kanak dalam sebuah bangunan kepunyaan Bani Maghalah. Kedatangan Rasulullah tidak disedari oleh budak itu hingga baginda menepuk belakangnya dan bertanya: Setujukah kamu mempercayai aku ialah Rasulullah. Jawabnya: "Aku setuju menyaksi bahawa kamu rasul orang ummi (buta huruf)", ia kemudian bertanya nabi: Kamu pula bagaimana?: Setujukah mempercayai aku sebagai Rasulullah? Lalu nabi menolak pertanyaannya sambil bersabda: Aku beriman kepada Allah dan rasul-Nya.
Kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. ramai yang menyatakan Ibn Sayyad yang ditemui nabi itu ialah Dajjal besar. Antara mereka ialah Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Umar, Ibn Mas'ud dan lain-lain.
Jika benar Saf Ibn Sayyad itu Dajjal agung yang bakal muncul pada akhir zaman atau sebelum kiamat, maka kemungkinan ia juga jin kerana Ibn Sayyad dilahirkan pada zaman awal Islam dan akan muncul pada akhir zaman. Umur sepanjang itu biasa wujud pada makhluk jin, tidak pada manusia.
Beberapa tahun yang lalu, saya pernah membaca sebuah buku tulisan Ustaz Amaluddin Darus. Beliau adalah seorang aktivis politik Islam dalam tahun 60-an. Beliau berpendapat Dajjal ialah kuasa-kuasa besar dunia, iaitu Rusia dan Amerika pada waktu itu. Tetapi sayang buku itu hilang daripada simpanan perpustakaan peribadi untuk dibaca semula hujah dan alasan yang diberinya.
Sesungguhnya pendapat Ustaz Amaluddin itu ada kebenaran dan nilai ilmiahnya, bahkan wajar dikutip penyelidik untuk dikaji semula. Saya berpendapat, jika Amaluddin berpendapat begitu, maka pemikiran beliau dapat diperkukuhkan lagi dengan alasan-alasan berikut:
Pertama: Dajjal yang dimaksudkan itu bukan individu tertentu, sama ada jin atau manusia atau makhluk kacukan antara jin dan manusia. Dajjal pemusnah manusia dalam bentuk kuasa ketenteraan atau disebut juga keganasan. Tetapi istilah keganasan ini telah dikelirukan oleh Dajjal sendiri, apabila pengganas menamakan orang lain sebagai pengganas bagi tujuan menyembunyikan dirinya yang merupakan pengganas sebenar.
Kedua: Alamat Dajjal disebutkan dalam hadis sebagai buta sebelah mata. Maksudnya tidak dapat menilai sesuatu dengan adil dan saksama. Memangpun kuasa-kuasa besar di dunia hari ini disifatkan sebagai buta atau sengaja membutakan sebelah matanya, iaitu apabila mereka tidak dapat melihat dengan adil isu-isu Palestin, Kashmir dan lain-lain. Mereka mempunyai kayu pengukur yang berbagai-bagai apabila bercakap tentang hak-hak manusia. Mereka menindas sesiapa juga yang mereka benci dan membela sesiapa yang mereka suka. Sifat ini lebih sesuai dengan orang yang hanya mampu melihat dengan sebelah mata.
Ketiga: Makna yang diketengahkan oleh Ustaz Amaluddin itu lebih merupakan makna majazi (simbolik) bukan hakiki. Penggunaan makna secara simbolik tidak menyalahi kaedah bahasa, kerana makna hakiki yang diketengahkan itupun masih jauh dan banyak yang diperselisihkan. Ini sama juga dengan istilah Nabi Khidir yang dikatakan wali dan masih hidup hingga kini. Apakah Khidir itu individu tertentu atau ia merupakan simbol bagi martabat wali yang silih berganti? Kedua-duanya ada dalil dan ada hujah masing-masing.
Ketahuilah, bahawa setiap satu ciptaan Allah swt itu ada hikmah disebalik kejadiannya. Kewajipan kita hanya menjalankan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Keluarnya dajjal itu bukanlah urusan kita, tetapi urusan Allah swt. Serahkan saja kepadaNYA, kerana DIA tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNYA.

Kisah syaitan, Dajjal dan alam ghaib

Berbicara tentang hal-hal yang ghaib atau cuba membongkarnya bukanlah satu hal yang kecil.

Kita berasa sedih apabila terdapat sekelompok manusia yang cuba hendak membongkar alam ghaib, mencari hantu dan sebagainya. Tidak dinafikan rancangan sebegini memang punyai tarikan tersendiri.

Untuk apa kita mencari hantu, sedangkan kita disuruh untuk membaca “A’uzubillahi min asy-syaithan ar-rajim” iaitu meminta perlindungan agar dijauhkan daripada hantu dan syaitan.

Lalu mengapa ada orang yang pergi mencari syaitan? Sebagai contoh ketika memasuki tandas atau bilik mandi Nabi mengajarkan kita agar membaca, “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari godaan syaitan jantan dan betina.” (riwayat al Bukhari).

Berlindunglah kepada ALLAH daripada kejahatan mereka kerana sesungguhnya tandas dan bilik mandi adalah tempat tinggal mereka.

Ada pula orang yang mencari Dajjal di Segitiga Bermuda, kononnya Dajjal ada di situ. Mengapa kita hendak mencari Dajjal?

Nabi menceritakan tentang kemunculan Dajjal pada akhir zaman, di mana apabila disebut Dajjal telah muncul, keadaan manusia pada ketika itu semua lari pulang ke rumah masing-masing, jaga anak isteri masing-masing, kerana kata Nabi, wanita akan mudah dipengaruhi oleh Dajjal.

Daripada Umar RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melakukan thawaf di Baitullah.... “Lalu beliau mengatakan bahawa beliau melihat Isa Ibnu Maryam alaihissalam, kemudian melihat Dajjal dan menyebutkan ciri-cirinya dengan sabdanya: “Dia itu seorang laki-laki yang gemuk, berkulit merah, berambut kerinting, matanya buta sebelah, dan matanya itu seperti buah anggur yang masak’ (tak bersinar).

“Para sahabat berkata, “Dajjal ini lebih menyerupai Ibnu Qathn, seorang laki-laki dari Khuza’ah.” (riwayat al-Bukhari)

ALLAH menganugerahkan kepada Dajjal beberapa keistimewaan; seperti boleh hidupkan orang  mati dan orang-orang yang kita cintai, Dajjal boleh menghidupkan semula dengan syarat kita beriman kepadanya.

Sebab itu Nabi minta kita jauhkan diri supaya jangan bertemu dengan Dajjal. Dan sebab itu juga kita dituntut membaca satu doa setiap kali dalam solat sebelum memberi salam, “Ya ALLAH, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada seksaan kubur, seksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta daripada kejahatan fitnah Al-Masih Al-Dajjal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita dituntut untuk memohon dijauhkan daripada empat perkara dan salah satunya adalah fitnah Dajjal, kerana fitnah Dajjal sangatlah dahsyat. Jadi mengapa ada orang pergi carinya. Mengapa kita pergi bongkar tentangnya.

Ada orang mengatakan Dajjal bermata satu. Tidak, Dajjal bermata dua, cuma dia buta sebelah mata. Di dahinya tertulis perkataan ‘kaf, fa, ra’ yang terpisah membawa erti kufur. Dajjal pendek tetapi lebar. Rambutnya kerinting. Itu cerita Nabi tentang Dajjal, cerita tentang alam ghaib. Sahabat Nabi menerimanya.

Rasulullah pernah bercerita tentang Dajjal kepada para sahabat, namun tidak pula kita menemui kisah kembara para sahabat untuk mencari Dajjal. Salah satu perkhabaran yang dibawakan oleh Rasulullah tentang Dajjal ialah daripada riwayat Fatimah binti Qais berkisar tentang sahabat Tamim Ad-Dari, “Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, tetapi dia akan datang dari arah timur... dari arah timur... dari arah timur...” dan beliau berisyarat dengan tangan beliau menunjuk ke arah timur.” (riwayat Muslim)

Ini menunjukkan betapa sahabat Nabi percaya dan berpegang dengan perkataan Nabi. Seharusnya kita mencontohi perilaku mereka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi, yakni dengan sentiasa membenarkan apa sahaja yang telah sahih datang daripada Nabi dan terus mengikutinya tanpa sebarang syak dan ragu.

Ekspedisi dan eksplorasi ke alam ghaib amat berbahaya dan dibimbangi akan merosakkan akidah umat Islam. Hukum orang yang mengaku mengetahui ilmu yang ghaib adalah kafir, kerana ia mendustakan ALLAH SWT. Firman ALLAH maksudnya, “Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan” (An-Naml : 65)

ALLAH memerintahkan kepada NabiNya Muhammad untuk memberitahukan kepada manusia bahawa tidak ada seorang pun di bumi mahupun di langit yang mengetahui ilmu ghaib kecuali ALLAH SWT. Hatta Rasulullah sendiri hanya mengetahui sekadar apa yang ALLAH sampaikan.

Tuesday, 20 August 2013

24 Perkara Jangan


Sesungguhnya di dalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yg menyeronokkan. Tetapi itulah sesungguhnya yg. mendatangkan keburukan kepada kita. Di bawah ini terdapat 24 perkara - perkara yg. jangan dilakukan yg. seharusnya kita ambil iktibar supaya kita dapat memuhasabah diri sendiri. :

1. Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh ALLAH s.w.t.

2. Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita.

3. Jangan makan dan minum dalam bekas yg. pecah @ sumbing. Makruh kerana ianya merbahayakan.

4. Jangan biarkan pinggan mangkuk yg. telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.

5. Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat)

6. Jangan makan tanpa membaca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan. Nanti makanan yg. dimakan adalah dari muntah syaitan.

7. Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan @ kebaikan. Takut-takut mati dalam perjalanan.

8. Jangan pakai kasut atau selipar yg. berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.

9. Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

10. Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.

11. Jangan menangguhkan taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

12. Jangan ego untuk meminta maaf kepada kedua ibubapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

13. Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak silaturrahim..

14. Jangan lupa bergantung harap hanya kepada ALLAH s.w.t dalam setiap kerja kita. Nanti sombong bila berjaya dan kecewa pula bila gagal.

15. Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.
16. Jangan banyak ketawa nanti mati jiwa.

17. Jangan biasakan berbohong kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih sayang org kepada kita.

18. Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan kerana doa makhluk yg. teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH s.w.t.

19. Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan kekal selamanya. Carilah kehidupan dunia untuk akhirat.

20. Jangan duduk dalam bilik air terlalu lama kerana disitulah tempat tinggal jin kafir dan syaitan. 

21. Jangan merokok dan memasang kemenyan kerana asap itu adalah makan jin.

22. Jangan lupa membaca BISMILLAHIRRAHMANNIRAHAIM dan salam ketika masuk kerumah dikhuatiri jin dan syaitan masuk bersama.

23. Jangan memakai tangkal kerana ALLAH s.w.t tidak sempurnakan agama seseorang itu jika memakai tangkal ini adalah kerana dikhuatiri kita bergantung kepada tangkal bukan kepadaNYA.

24. Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata jangan sebab semuanya untuk kebaikan dan sesungguhnya ALLAH s.w.t itu lebih mengetahui.

Yang baik itu adalah dari ALLAH s.w.t dan yg. buruk itu dari hambanya juga.

Wallahuallam.



In the name of Allah, the Most Beneficent, the Most Merciful

" I created the jinn and humankind only that they might worship Me. "

( Az- Zaariyaat : 56 )

" Ya Allah , terimalah kami sebagai hamba-MU "

Wednesday, 30 May 2012

12 Barisan di Padang Masyar


Pada suatu hari, Muaz bin Jabal menghadap Rasulullah S.A.W dan bertanya :

"Wahai Rasulullah tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah : Ketika sangkakala ditiup,maka kamu sekalian akan datang berbaris-baris." (Surah an-Naba' : ayat 1).

Mendengar pertanyaaan itu , Baginda menangis hingga basah pakaian, lalu Baginda menjawab :

"Wahai Muaz, engkau bertanyakan kepada aku perkara yang amat besar, bahwa umatku akan diiringi, berkumpul berbaris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaaan mereka sendiri. "

Maka, dinyatakan apakah 12 barisan itu ?

Barisan pertama, diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih yang ertinya. "Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya, menyakiti hati jirannya, maka inilah balasannya. "

Barisan kedua, diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah ang Maha Pengasih : "Mereka itu ialah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya, dan tempat kembalinya adalah neraka."

Barisan ketiga, diiringi dari kubur berbentuk keldai, perut mereka penuh dengan ular dan kalajengking. Mereka ini ialah orang yang enggan membayar zakat, dan inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan keempat, diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancut keluar dari mulut mereka. Mereka ialah orang berdusta dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan kelima, diiringi dari kubur dengan bau busuk. Ketika itu Allah menurunkan angin sehingga bau busuk itu menggangu ketenteraman di Padang Mahsyar. Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi tidak pula takut kepada Allah, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan keenam, diiringi dari kubur dengan kepala mereka terputus dari badan. Meraka ini adalah orang yang menjadi saksi palsu. Inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka.

Barisan Ketujuh, diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah, tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. Mereka ini adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan kelapan, diiringi dari kubur dengan keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. Mereka ialah orang yang berzina. Inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan kesembilan, diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan mata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. Mereka ialah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan Kesepuluh, diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta. Mereka ialah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan kesebelas, diiringi dari kubur dengan buta, gigi memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur keluar sampai ke perut serta keluar beraneka kotor. Mereka ialah orang yang minum arak maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.

Barisan ke-12, diiringi keluar dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar umpama bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan :
"Mereka ialah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat."
Maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Agung.

Daripada Anas bin Malik ra. telah berkata : 
Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :
Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) :
Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap ia satu yang bebanan.Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu meliputi awan dan langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiKu (selepas mati), dengan kesalahan sebesar bumi, kemudian kamu datang dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan keampunan dosa sebesar bumi itu."


                                     

Sunday, 20 May 2012

Balasan meninggalkan solat





Subuh – Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun. Sahabat sekalian, 1 tahun di akhirat tidak sama dengan dunia. Jika 1 tahun di dunia kita sudah rasa agak lama, di akhirat 1 tahun bersamaan dengan 60,000 tahun di dunia. MasyaAllah. 7 keturunan kita pun belum lepas 1 tahun jika kita hidup di akhirat.


Zuhur – Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim. Sedangkan membunuh seorang orang Islam pun kita akan dicampakkan ke neraka, bayangkan kita telah membunuh 1000 orang muslim. Betapa azabnya kita. Begitu mudah kita mencari dosa tersebut hanya dengan meninggalkan solat Zuhur yang mana jika dilakukan, 15 minit pun tak sampai.


Asar – Dosa sama seperti meruntuhkan Ka’abah. MasyaAllah, sanggupkah kita meruntuhkan kiblat umat Islam? Renungkan berapa kali sudah kita meninggalkan solat asar dengan sengaja? Dan renungkan juga berapa kali sudah kita meruntuhkan Ka’abah.


Maghrib – Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri. Saya tak sanggup nak menyedarkan diri saya dengan lebih panjang akan dosa meninggalkan solat maghrib ini. Rasa amat bersalah dengan ibu saya sendiri.


Isyak – Allah SWT berseru kepada mereka “Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT.





Antara azab bagi mereka yang meninggalkan solat:
Dunia
1. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
2. Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin (soleh) daripada (wajah) nya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Sakaratul Maut
1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
3. (su’ul khatimah)
4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Alam Barzakh
1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman) dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari)
4. (Siksaan binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan)
Hari Qiamat
1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

                                               YA ALLAH, AMPUNKAN DOSA-DOSA KU.

Saturday, 19 May 2012

Kisah Teladan - Jadikan sebagai pengajaran.

Rasulullah SAW dengan sebiji limau.


"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.




Tujuh perkara ganjil.



Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam.


Berkat di sebalik membaca Bismillah.

"Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja."


Wajah mayat berubah menjadi himar.

"Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi. "Hai saudara," tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. "Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."

"Saya ada alasan tersendiri," jawab pemuda itu. "Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

"Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?" "Maka saya menjawab, "Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"

"Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama. "Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu. "Saya yang terpilih (Muhammad)." "Saya lantas memegang jarinya dan berkata, "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh terjadi?"

"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat. "Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu."


KISAH SEORANG KRISTIAN MASUK ISLAM

  Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura' datanglah seorang miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tadi, "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham." Qadhi menjawab, "Datanglah selepas waktu zohor!"

    Selepas sembahyang zohor orang miskin itu pun datang demi memenuhi janjinya. Sayangnya si Qadhi kaya itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa. Di waktu si miskin jalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang kristian sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Kristian itu si miskin minta sedekah, "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya."

     Si Kristian bertanya, "Hari apakah hari ini?" "Hari ini hari Asyura", kata si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura'. Rupanya orang Kristian itu sangat tertarik mendengar cerita si peminta sedekah dan hatinya berkenan untuk memberi sedekah. Berkata si Kristian, "Katakan apa hajatmu padaku!" Berkata si peminta sedekah, "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja." Dengan segera ia memberi si peminta sedekah semua keperluan yang dimintanya. Si peminta sedekah pun balik dengan gembira kepada keluarganya. Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya.

  "Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. Ia bertanya, "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?" Terdengar jawapan, "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Kristian."

   Apabila Qadhi bangun dari tidurnya,iapun pergi kepada Kristian yang dimaksudkan dalam mimpinya. Qadhi bertanya kepada si Kristian, "Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?" Orang Kristian itu pun menceritakan tentang amal yang diperbuatnya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura' itu.
Kata Qadhi, "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham." Kata si Kristian, "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya." Kata Qadhi, "Mengapa anda begitu kedekut, sedangkan anda bukan seorang Islam?"
Ketika itu juga orang Kristian itu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.


BALASAN MENINGGALKAN SOLAT

 Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. ApabilaRasulullah s.a.w. melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda kenapa kamu menangis?" Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah s.a.w., ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah s.a.w., "Ya Rasulullah, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

    Kemudian Rasulullah s.a.w. dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan Baginda s.a.w. pun berdoa kepada Allah s.w.t., kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

      Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t. seperti babi hutan yang hitam." Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.

    Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah s.w.t. yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"
Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :"

1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjamaah. 
2.Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3.Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

 
Inilah balasan nya. 








Menanti di Barzakh- Far East



Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap, 
Ku Meminta Dihidupkan Semula, 
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata, 

Perjalanan Rohku, 
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda, 
Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti Di Barzakh, 
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan, 
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,

Tanah Yang Basah Berwarna Merah, 
Semerah Mawar Dan Jugak Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Susai Talkin Penanda Syahdu,
Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,

Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Disini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2

Kembali Oh Kembli,
Kembalilah Kedalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Terbujur Didalam Keranda Kayu,

Ajal Yang Datang Dibuka Pintu ,
Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Jasadku Untuk Mengulangi,

Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan x2
Kini Aku Merasakan x2
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan x2